Layan

Sunday, March 4, 2012

Sambungan ke 2 pada tajuk yang lepas mengenai :- Gejala tranformasi zaman ke zaman yang suka membid'ah kan dalam perkara khilafiyah(perselisihan) adalah satu Natijah(Kesan) KEJAHILAN.

                           بسم الله الرحمن الرحيم




Perbahasan mengenai tajuk ini amat penting dalam memahami masalah-masalah yang dibincangkan sebelum ini.


Perkara-perkara Khilafiyah(perselisihan) bukanlah bererti Bid'ah(perkara baru yang dibuat-buat didalam agama.Sila lihat post saya yang lepas mengenai Bid'ah pada hari isnin bersamaan 16 haribulan may 2011) :-




Khilafiyah (perselisihan) pendapat dalam institusi fiqh Islam memang merupakan suatu hal yang realistik. Ianya  sudah wujud sejak dari zaman Rasulullah s.a.w. lagi,ringkasnya seperti yang dinukilkan didalam hadith mengenai "Solat di bani Quraizoh".



Perkara-perkara khilafiyah(perselisihan) tidak pernah dijadikan isu untuk membid’ahkan sesuatu golongan, walaupun ianya telah pun muncul sejak bermulanya penyebaran agama Islam ke serata dunia di zaman Rasulullah s.a.w itu sendiri.

Dan juga kalau kita lihat secara jelas lagi,apabila timbul perbezaan pendapat antara ulama’-ulama’ mazhab tertentu, maka tidak timbul pula golongan ulama’ yang menuduh golongan ulama’ yang lain sebagai pembuat bid’ah kerana perbezaan pendapat tersebut.

Contahnya didalam ijtihad imam Syafi'ie mengenai batalnya wudhuk seseorang apabila tidur,ini tersangat berbeza pendapat didalam pendapat imam-imam mazhab lainnya,justeru dengan itu,para ulama’ mazhab lain tidak pernah menuduh ijtihad ulama’ mazhab As-Syafi’e tersebut sebagai bid’ah.

Walaupun sememangnya tiada nas yang thabit(jelas) dapat disandarkan tentang hukum batal wuduk apabila tidur,namun dengan ijma' salah seorang dari imam mazhab berikut,sudah memadai untuk menamatkan khilafiyah(perselisihan) disini.Jadi ini bererti bukanlah satu bid'ah.

Lagi beberapa contoh  mazhab As-Syafi’e yang menjelaskan bahawa, sentuh lingkaran dubur membatalkan wuduk, berdasarkan kaedah qiyas(Secara ringkasnya ialah ukuran atau pebandingan didalam suatu hukum) terhadap hukum batal wuduk apabila seseorang menyentuh kemaluan.

Para ulama’ mazhab lain  juga tidak pernah menuduh ijtihad ulama’ mazhab As-Syafi’e tersebut sebagai bid’ah, walaupun sememangnya tiada nas yang dapat disandarkan tentang hukum batal wuduk apabila menyentuh lingkaran dubur tersebut.

Jadi, perkara-perkara khilafiyah(perselisihan) sememangnya tidak boleh dijadikan pintu untuk menuduh seseorang itu pelaku bid’ah, kerana perselisihan pendapat dalam memahami nas, tidak sama seperti melakukan sesuatu bid’ah yang sememangnya tidak ada sandaran langsung dari kaedah-kaedah penggalian hukum dalam Islam.



Sebenarnya para ulama hanya bercanggah daripada fahaman nas-nas tertentu sama ada daripada Al-Quran atau pun Hadith,bukanlah bermaksud bercanggahnya kalimat-kalimat itu.
            
Maka kalaulah kita tidak pandai membezakan yang mana satu dikatakan bid’ah dholalah(yang sesat),dengan yang mana satu dinamakan masa’il khilafiyah(masalah-masalah perselisihan), janganlah pandai-pandai membid’ahkan sesuatu perkara tersebut.

Kayu pengukur dalam mengukur sesuatu itu, samada ianya merupakan khilafiyah(perselisihan) atau bid’ah dholah(yang diperakui syarak sesat) dan hasanah(yang diperakui syarak baik),adalah berpandukan nas-nas Al-Qur’an dan Hadith serta sumber-sumber dan kaedah-kaedah penggalian hukum Islam yang lain seperti Ijmak, Qiyas dan sebagainya.

Dan kalaulah sesuatu perkara itu tidak bercanggah dengan nas-nas Al-Qur’an dan Hadith, serta bersesuaian dengan kaedah-kaedah menggali hukum dalam Islam yang lain, maka ianya tidak dinamakan bid’ah Dholalah(yang diperakui syarak sesat),walaupun kadang-kala merupakan suatu perkara yang khilafiyah(perselisihan).

Adapun sesuatu perkara yang bercanggah dengan nas-nas dari Al-Qur’an,Hadith dan kaedah-kaedah menggali hukum Islam yang lain, maka barulah ianya dinamakan bid’ah Dholalah(yang diperakui syarak sesat).

Inilah yang gagal difahami oleh kebanyakkan ahli penuntut ilmu yang terjebak dalam kancah “bid’ah-membid’ahkan” ini. Mereka gagal memahami perbezaan antara perkara-perkara khilafiyah(perselisihan) dengan perkara-perkara bid’ah.

Bentuk-bentuk Ibadah yang Diajarkan Oleh Rasulullah s.a.w. :-

 Dr. Abdul Malik Abdul Rahman As-Sa’adi dalam kitab beliau yang diterjemahkan dengan tajuk “Salah Faham Terhadap Bid’ah” berkata :-

Ibadah yang jelas dibawa oleh Rasulullah s.a.w. terbahagi kepada 2 bentuk iaitu :-


Pertama :-

Ibadah yang datang dari Rasulullah s.a.w. tetapi terikat dengan waktu, tempat, bilangan tertentu, cara tertentu atau keadaan tertentu. Maka, ibadah berbentuk sedemikian wajib ditunaikan sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. tanpa penambahan, perubahan atau pengurangan. Sesiapa yang melakukannya bukan dalam bentuk yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w, maka dia dianggap sebagai pencetus bid’ah.

            Contohnya seperti : Solat fardhu, ibadah haji dan sebagainya.

Kedua :-

Ibadah yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w,sama ada dalam bentuk suruhan, panduan, galakan atau pesanan yang tidak terikat dengan bentuk, masa, tempat atau bilangan tertentu dan tidak pula diriwayatkan mengenai larangan melakukannya di waktu-waktu yang tertentu dan tidak thabit(jelas).

Jadi,terpulanglah kepada umat Islam untuk memilih masa,zaman dan tempat yang sesuai dengan amalan tersebut dan bentuknya, asalkan tidak disandarkan perkara tersebut kepada Rasulullah s.a.w.Namun cukuplah sekadar mengamalkannya, bersandarkan keizinan yang diperolehi dari syariat secara am(umum).

Contohnya seperti : solat sunat mutlak, puasa sunat mutlak, mencatik kan  kitab Al-Qur’an, membuat jamuan makan dan sebagainya.

Kalaulah ada seseorang yang beristiqomah(terus menerus melakukan hal tersebut) dalam melakukan sesuatu perkara tersebut, pada waktu-waktu tertentu, maka tidaklah dianggap bid’ah. Begitu juga kalau dia membiasakan dirinya dengan membaca mana-mana surah dari Al-Qur’an, pada hari yang tertentu, juga tidak dikira sebagai bid’ah.  -Tamat Nukilan-

Mengamalkan Hadith-Hadith Dho’if  Bukan Bererti Pengamal Bid’ah :-

Di sini suatu lagi masalah kebanyakannya para-para penuntut ilmu yang terlibat dalam kancah “bid’ah-membid’ahkan dalam perkara khilafiyah(perselisihan) tersebut”. Ramai dari kalangan mereka yang berlagak seperti wira dalam kancah ilmu agama sering berkata :- “amalan ini suatu bid’ah, kerana hadith dalam masalah tersebut merupakan suatu hadith yang dho’if(lemah) terkadang itu sampai berlakunya maudhu'(palsu)”.

Bayangkan jikalaulah orang-orang awam mendengar perkataan tersebut, sudah tentu mereka menyangka si penuntut ilmu tersebut seorang yang alim,bahkan boleh membawa kepada kesalah fahaman terhadap hal-hal agama.Akan tetapi seandainya perkataan sedemikian didengari oleh ahli ilmu, sudah tentu mereka mengetahui bahawa, orang yang berbicara tersebut masih lagi tidak cukup ilmu.

Ini kerana, melemparkan tuduhan bid’ah terhadap amalan yang diambil dari hadith yang dho’if(lemah)adalah seperti melemparkan tuduhan ke atas para salaf yang meriwayatkan hadith tersebut sebagai pembawa bid’ah. Hal tersebut tidak pernah berlaku dalam etika para ulama’ salaf.

Hal ini  juga di sebabkan kerana,adanya dalil yang lemah tidaklah menunjukkan seseorang itu telahpun melakukan bid’ah, kerana hadith-hadith dho’if(lemah), jika cukup syarat-syaratnya di sisi ulama’ hadith, maka boleh diamalkan.

Ijma'(Majoriti) ulama’ berpendapat bahawa, dibolehkan beramal dengan hadith dho’if didalam fadhail ‘amal (kelebihan dalam beramal), samada berbentuk galakan mahupun larangan, kerana ditakuti hadith itu sahih pada realitinya, sehingga tidak tertegah seseorang muslim mendapat fadhilat (kelebihan) dari amalan tersebut.

Ramai yang tidak memahami apa itu hadith dho’if(lemah), sehingga menyebabkan mereka seolah-olah alergik dengan istilah “hadith dho’if(lemah)” ini. Kebanyakkan hadith dho’if sebenarnya hanyalah berdasarkan penilaian ulama’ hadith terhadap keadilan dan kelayakkan perawi hadith tersebut dalam meriwayatkan hadith. Ia juga merupakan hasil dari ijtihad para ulama’ juga, dalam menentukan sama ada seseorang perawi itu boleh diterima hadith yang diriwayatkannya atau tidak, dan sebagainya.

Tidak mustahil, hadith yang dho’if(lemah) dari sudut penilaian para ulama’ hadith terhadap perawi hadith tersebut,dari sudut realitinya merupakan hadith yang sohih daripada Rasulullah s.a.w sendiri.Namun bersebabkan penilaian dan perbandingan,ianya telah turun kepada darjat yang lemah,namun ianya masih boleh diamalkan.

 Syarat-syarat hadith dho’if yang sesuai untuk diamalkan :-

Hadith tersebut tidaklah terlalu dho’if(lemah),hanya berkaitan kelebihan beramal,masih ada kaitan dengan hadith yang sohih.Serta tidak beriktiqad(menetapkan didalam jiwa) bahawa, hadith tersebut thabit (secara jelas) daripada Rasulullah s.a.w., tetapi diamalkan atas dasar ihtiyath(berwaspada atau berjaga-jaga). -Ibn Hajar Al-Asqalani-

Semoga kita yang masih lagi tidak cukup ilmu ini, tidak tergopoh-gapah menuduh sesuatu amalan itu bid’ah, kerana bagaimana kita tahu sesuatu amalan itu bid’ah, kalau kita sendiri tidak pernah khatam membaca Sohih Al-Bukhari, Sohih Muslim dan kutub(kitab-kitab)Sunan yang lain berserta Qawaid Usul(kaedah-kaedah asas).

Menuduh sesuatu itu bid’ah, tanpa ilmu yang cukup, merupakan suatu bid’ah yang lebih besar, maka berhati-hatilah.Alhamdulilah tamat sudah penjelasan oleh saya,harap maaf jikalau tersilap,tegur lah,moga Allah merahmati kita semuanya.

Allah Maha Mengetahui Apa-Apa Yang Telah Saya Ulaskan,
Wabillahi taufiq wal hidayah,
Wasalamu'alaikum Warahmatullah Wabarokatuhu






No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.