Layan

Saturday, May 14, 2011

ulasan daripada saya mengenai : Nasihat yang tercela

Assalamu'alaikum..saudaraku sekalian..

Bismillahir rahmanir rahim...

As-Solatu wa Salamu ala Rasulillah wa Habibillah Muhammad Sal-lallahu-‘Alaihi wa Salam ibni Abdillah. Allahumma solli ala saidina, nabiyyina Muhammad wa’ala alihi wa sohbihi ajmain. Salamun ‘ala mursalin wal-hamdulillahi ‘ala kulli hallin. Asyhadu an’laa ilaha ill-Allah. Asyhadu an’naMuhammadan abduhu wa rasuluhu. Allahul-Sami’ul-Raqibul-Syahidul-Hakimul-Lathiful-Khabirul-Azhimul-Azizul-‘Alim. Wallahu ‘ala kulli shay’in Qadir. Inna Allaha kaana Ghaffurur-Rahim.










Wahai saudaraku yang dimuliakan Allah,dengarlah.Dan sesungguhnya pada hari ini, aku berikan kamu pengajaran tentang sesuatu yang amat penting dan perlu sangat di utamakan. Sungguh hal ini amat merisaukan kerana manusia sememangnya tiada yang terlepas dari kesalahan dan kesilapan.

"Kerendahan akhlaknya maka kamu maafkanlah dia. Kurangnya pemahaman maka bertanyalah. Keraguan maka kamu telitilah".



Wahai ahli syurga, marilah untuk bersama dan mendengar. Sesungguhnya nasihat yang tercela dan membawa kecelakaan itu ialah pada lidah orang yang memberikan nasihat. Sesungguhnya nasihatmu itu berguna sekiranya tepat pada ilmunya dan benar pada kesalahan. Namun kecelakaan itu bukan sahaja pada orang yang degil mendengar nasihat bahkan ianya juga pada si pemberi nasihat itu.



Wahai kesayanganku, apabila seseorang itu memberikan nasihat hendaklah kau diam dan tenang. Dan janganlah disebabkan hawa nafsu mu dan keras hatimu itu membuatkan kau berdegil pada orang yang berilmu. Nasihat itu ubat dan Degil itu penyakit.Nasihat itu penawar dan Degil itu merosakkan. Orang yang degil itu ialah disebabkan oleh sifat yg terlalu cintakan dunia. Yang bersarang di hatinya. Cintakan dunia itu ialah disebabkan banyaknya menurut hawa nafsu. Sungguh cinta dunia itu ialah penyakit yang kritikal dan ialah juga pokok, akar dan merupakan ibu kepada sifat-sifat mazmumah/tercela.



Surah Al-A’raf ayat 79,Allah berfirman :-



“Tetapi kamu tidak menyukai orang-orang yang memberikan nasihat.”





Surah Al-Jaatsiyah ayat 23



“Dengan yang demikian, bagaimanakah fikiranmu terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya (sebagai) Tuhannya yang dipatuhinya…”





Surah Al-Baqarah ayat 74



“… hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi…”





Dari Abu Hurairah, Rasullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda :-



“Barangsiapa bertengkar dalam suatu permusuhan, tanpa ilmu, nescaya sentiasalah dia dalam kemurkaan Allah sehingga dia mencabut dirinya daripadanya(meninggalkan perbuatan itu).”

(Dirawikan Ibnu Abid Dunya dan Al-Ishfahani – dipandang hadith ini dhaif oleh kebanyakan ulama hadith)











Sesungguhnya hawa nafsu itu menyuruh kepada selainNya. Dan adalah hawa nafsu itu pandai menggoda dan ia juga termasuk senjata syaitan yang utama. Hawa nafsu sentiasa menggoda dan tiadalah seseorang itu boleh mengawal dan menundukkannya melainkan dengan bermujahadah. Hampir mustahil bagi seseorang menundukkan hawa nafsunya melainkan dengan bermujadah. Mengalahkannya dengan berperang  dan tidak menurut kemahuannya. Jinakkanlah hawa nafsu itu dan jangan diturutkannya sekalipun hawa nafsu itu telah dikendalikan. Hawa nafsu itu ibarat anak kecil yang meronta. Yang memaksa untuk kepuasannya. Bagaimana kamu menerima dan menurut seorang anak kecil?



Berkata Waliyyullah Syaikh Abdul-Qadir al-Jailani :-



“Nafsu ini selalu membisikkan kejahatan. Ia menuntut dan menuntut lagi sehingga ia dikendalikan oleh hati. Perangilah ia dalam setiap keadaan. Janganlah kamu menurutnya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman “Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan ketaqwaannya.” (Surah Asy-Syams ayat 8) Jinakkanlah nafsumu dengan mujahadah. Sungguh jika ia telah jinak, ia akan tunduk kepada hati, kemudian hati tunduk kepada nurani, dan nurani tunduk kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.”





Hati yang dikuasai nafsu pasti tidak akan suka menerima nasihat dan pengajaran. Sesungguhnya nasihat dan pengajaran itu menyuruh kepada kebaikan dan langsung kepada yang bertentangan dengan nafsu.



Kecelakaan besar bagi orang yang memberi nasihat itu ialah pada lidahnya yang banyak mengutuk dan mencela. 

Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda :



“Tidaklah hasil tuaian lidah manusia itulah yang telah menghumbankan muka mereka ke dalam neraka.”
(Riwayat Imam Tirmidzi, Imam Al-Nasa’I, Ibn Majah dan Imam Ahmad) 


dan baginda bersabda lagi :-



“Orang yang beriman itu bukanlah orang yang suka menuduh, suka melaknat, suka bercakap kotor dan keji.”
(Riwayat Imam Tirmidzi – katanya Hassan Gharib, Al-Iraqi pula berkata sanadnya sahih)


dan bersabda lagi :-

"Sesiapa yg tidak memiliki sifat peramah dan lemah lembut dalam pergaulan adalah tidak mempunyai apa-apa kebaikan"(Hadith riwayat bukhari dan muslim)

Hendaklah orang yang tahu kesalahan saudaranya itu menasihati dengan berkata yang lemah lembut, penuh kesopanan dan bukanlah dengan kekasaran.

Contohnya :-



* “Janganlah kamu lakukan begini dan begini. Ianya salah.”



Atau



* “Apa yang kau buatkan itu ialah suatu kesalahan. Semoga kamu tinggalkan perbuatan ini.”



Ataupun



* "(menyindir) Pemuda itu tidak ada pengalaman (lalu jangan ditunjukkan orang langsung kepadanya supaya dijaga aibnya dan juga supaya dia faham)"



Atau juga



* "Saudaraku, beginilah yang lebih baik kau lakukan."





Dan perlulah dengan pertuturan yang jelas dan baik-baik. Menasihatilah saudaramu itu pada tempat yang asing dari orang-orang (masyarakat) supaya menjaga aibnya dan berkatalah dengan tenang dan berlemah lembut.



Berkata Imam As-Syafie



“Barangsiapa mengajari temannya secara rahsia, maka sesungguhnya dia telah menasihati dan menghiasi temannya itu."







Berkata Umar Radhi-Allahu-anhu



“Kebajikan itu barang yang mudah, muka yang jernih dan perkataan yang lemah lembut.”





Nabi Muhammad bersabda



“Berkata-kat yang baik itu sadaqah.”



Dan



“Jagalah dirimu dari api neraka, walaupun dengan sekeping tamar! Kalau kamu tidak memperolehnya (iaitu sekeping tamar), maka dengan perkataan yang baik.”

(Riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim dari Uda bin Hatim)



Hindarilah daripada berkata seperti:



* “Kau ini bodoh.”



Atau



* “Sungguh celaka kau ini, tidak boleh berbuat begini.”



Atau juga



* “Kau ini lemah. Bukan begini sepatutnya kau perbuat.”



Ataupun



* “Hai orang yang bodoh, kenapa kau tidak mahu mendengar.”



Atau juga



* "Kau ini memangnya sial. Tengok apa sudah berlaku. Celaka."



Atau begini



* "Diamlah, kau budak-budak dan masih bodoh. Apa kau tahu."



Dan begini



* "Begini kau perbuat. Sungguh sial dan celaka. Laknat bagimu."





Wahai yang aku cintai, kesemua ini ialah merupakan perkataan yang bertentangan dengan nasihat Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa Sallam. Baginda mengajar supaya kita menjadi lemah lembut. Janganlah memaki, mengutuk dan menghina. Dan jikalau dikhuatiri kemarahanmu pada kesalahan saudaramu itu, oleh kerana keterlaluan perlakuannya, maka nasihatilah saudaramu itu di tempat yang asing daripada masyarakat dan orang-orang awam. Hal ini demi menjaga aibnya. Sungguh orang yang menjaga aib saudaranya, Allah akan menutup aibnya di hari kiamat kelak.


Rasulullah pernah bersabda :-

"Sesiapa yg menutupi keaiban saudaranya,Allah akan menutup keaibannya dihari kiamat kelak"
(Hadith riwayat Muslim)



Berkata Ibnu Umar :-

“Sesungguhnya orang yang sangat dimurkai Allah ialah tiap-tiap orang yang mencela, lagi mengutuk orang.”





Wahai kesayanganku, aku ceritakan kepada kamu bahawa



Suatu hari beberapa orang Yahudi datang pada Rasullah s.a.w dan berkata “Celaka bagimu.” Rasul kita hanya menjawab “Juga bagi kalian.” Mendengar hal itu, Ummul Mukminin, Aisyah RadhiyaAllahu 'anha berkata “Celaka dan laknat bagi kalian!” Rasullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda “Wahai Aisyah, Allah menyukai kelembutan dalam setiap hal.” (Lihat Sahih Muslim hadith ke-2593) 

Maka kita telah dapati satu pengajaran dari hadith ini ialah berlemah lembut. Walaupun Aisyah berkata seperti demikian, Nabi Muhammad hanya menegur Aisyah dengan tenang dan lemah lembut. Bukanlah dengan cercaan dan makian mahupun bahasa kesat selepas berbuat demikian.

Baginda s.a.w pernah bersabda lagi :-

“Aku berpesan kepadamu bahwa janganlah engkau suka mengutuk.”
 (Riwayat Imam Ath-Thabrani dan al-Albani menyatakan ianya sahih)



Dari Abu Darda’, beliau berkata bahawa Rasulullah bersabda :-



“Sesungguhnya apabila seorang hamba mengutuk sesuatu, naiklah kutukan itu ke atas langit, lalu ditutup pintu-pintu langit kerananya. Kemudian turun ke bumi, lalu ditutup pintu-pintunya kerananya. Kemudian ia mengambil kanan dan kiri, maka jika ia tidak menemukan tempat, niscaya ia kembali kepada yang dikutuk, jika ia tidak sampai menerimanya, dan jika tidak nescaya ia kembali kepada yang mengucapkannya.”

(Riwayat Imam Abu Daud dan dinyatakan hasan lighairih oleh al-Albani)



Dalam "Janji dan Sumpah Iblis" penulisan Adil Akhyar katanya "Ada setengah ulama mengganggap ucapan-ucapan seperti "sial", "laknat", "celaka", dan seumpamanya sebagai doa, kerana ada sebuah hadith daripada Rasulullah Sal-lallahu-'Alaihi wa Salam yang melarang perbuatan seperti itu. Sebab dikhuatiri, jika ucapan itu berkebetulan dengan masa pengabulan doa dan permintaan, nescaya bencana ucapan itu akan menimpa orang yang ditujukan ucapan itu, kiranya dia memang patut menerima bencana itu pada ukuran Allah Subhanahu wa Ta'ala. Tetapi kiranya dia tidak patut menerimanya, maka bencana itu akan kembali menimpa ke atas orang yang menujukan ucapan itu."



Diriwayatkan dari Jabir Radhi-Allahu-anhu, katanya "Suatu masa kami bersama-sama Rasulullah Sal-lallahu-'Alaihi wa Salam sedang menuju ke medan perang, tiba-tiba ada seorang Ansar merasa tidak selesa terhadap binatang kenderaannya, lalu dia menyumpah-nyumpah binatang itu "Jalanlah laknat!" - Katanya. Maka baginda marah kepada orang Ansar itu lalu bersabda "Turunlah dari binatang itu! Jangan engkau biarkan ia ikut bersama-sama kita, kerana ia telah mendapat laknat."



Kemudian Baginda bersabda lagi "Janganlah engkau mendoakan (kecelakaan) ke atas dirimu atau ke atas anak-anakmu atau ke atas harta bendamu, kerana dikhuatiri bertepatan pada saat doa mustajab, di mana setiap hamba yang memohon (berdoa) sesuatu dari Tuhan akan dikabulkan."



Sungguh apa yang keluar dari mulut itu. Apa yang diucapkan oleh lidah itu merupakan doa dan akan naik ke langit oleh ucapan tersebut. Oleh itu, berhati-hatilah kalian. Jangan sehingga kalian menasihati disertakan dengan cercaan dan celaan. Di khuatiri permintaan tersebut akan makbul dan ditimpa kepada orang yang dinasihati. Lebih malang lagi, jika kutukan itu tidak menimpa yang yang terkena kutukan, ditimpa pula kepada orang yang mencela. Naudzubillahi min zalik.



Bagaimanalah dengan seorang yang ingin menasihati saudaranya, namun dia pula mendoakan yang buruk untuk saudaranya. Berhentilah, nasihatilah mereka dengan baik bukan dengan cara makian atau pertengkaran.



Nabi Muhammad bersabda



“…Mencukupilah dari manusia itu kejahatan, bahawa dia menghinakan saudaranya yang muslim.”
(Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah)



Imam Al-Ghazali berkata dalam kitabnya ‘Ihya Ulumiddin :-


“Penghinaan yang paling berat ialah pertengkaran. Kerana orang yang menolak perkataan orang lain, adalah meletakkan orang itu pada kebodohan dan kedunguan.”



Imam Al-Ghazali berkata lagi :-

"Bahawa yang dekat pada mengutuk ialah berdoa terhadap manusia dengan sesuatu yang tidak baik atau jahat. Pendek kata, cela dan cercaan ini juga ialah doa yang mungkin tidak mustahilnya di terima oleh Allah Al Mujib ‘Azza wa Jalla".




Wabillahi taufiq wal hidayah wassalamu'alaikum wa rahmatuAllahi wa barakatuhu..